Monday, April 4, 2011

Jalan Jalan Pagi

Cuti semester sudah bermula.
Dua bulan lebih tempohnya.Aku manfaatkan cuti ini dengan bekerja.

Aku bekerja di pejabat yang sama dengan pejabat papa aku.
Diingatkan di sini papa aku bukan ketua eksekutif di sana,cuma pekerja juga.
Kerja aku bermula dari Isnin hingga Jumaat.
Setiap pagi aku menaiki pengangkutan awam sahaja ke tempat kerja.
Balik juga serupa.Makan minum dan masa diuruskan sendiri.
Duit pula aku keluarkan sendiri.
Berdikari.Itu yang aku cuba bentuk kini.

Setiap pagi bas yang aku naik akan berhenti di sekitar kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Di sana,aku dapat lihat ramai manusia berpusu pusu mengejar masa untuk mencari rezeki.
Ke pejabat atau kedai,semuanya atas satu tujuan.
Setiap pagi juga aku dapat lihat ramai yang berniaga makanan.
Mereka adalah yang aku cari setiap pagi,membeli makanan untuk alas perut.

Apa yang aku dapat perasan adalah ada di kalangan mereka yang berniaga berusia lebih muda dari aku.
Aku berumur 19 tahun.Yang lebih muda dari aku bermakna umur 18 tahun dan ke bawah.
Tapi mereka kelihatan seperti yang sepatutnya yang ke sekolah.
Aku melihat jam.Digit menunjukkan waktu sekolah sudah bermula.

Setelah difikirkan,aku rasa mereka ini antara golongan yang tidak beruntung untuk ke sekolah.
Mungkin kerana mereka tidak mampu dan perlu mencari duit untuk meneruskan hidup.
Aku tertunduk.

Sungguhpun aku bukan datang dari keluarga yang berada,ibu bapa aku tetap bertungkus lumus untuk memastikan pendidikan aku dan adik adik.
Memastikan keperluan yang secukupnya.
Aku memang beruntung jika dibandingkan dengan mereka.

Aku pandang mereka.Sayu.
Aku pandang mereka sambil beribu ribu benda bermain di minda aku.
Aku datang dekat.
Aku beli beberapa biji kuih.
Aku berharap dapat bantu mereka
walaupun sedikit.